Tahukah
saudara-saudara sekalian semua kerajaan di dunia melabel status surirumah
adalah golongan yang ‘tidak bekerja’?
Siapakah yang
mencetuskan pekerjaan bagi kaum wanita sehingga memesong dan meninggalkan tugas
utama mereka untuk melahir dan menjaga umat Rasulullah Shalallahu alahi
wasallam?
Siapakah yang
membela nasip wanita bila dia menjadi surirumah? Adakah terletak dibahu seorang
suami yang bekerja?
Apakah dengan tertubuhnya
Badan hal ehwal wanita dapat membela nasip wanita dan anak-anak mereka?
Tidakkah semua
kerajaan di dunia ini terfikir semua permasalahan yang timbul mengenai wanita
dan kanak-kanak adalah cetusan perundangan yang digubal oleh manusia itu
sendiri?
Nauzubillahi minzalik, rupanya benarlah firman Allah, Maha Suci Allah tiada kerajaan
yang hebat berbanding Kerajaan Langit dan semua kerajaan manusia yang ada
sekarang ini akan musnah akibat oleh perbuatan dan kezaliman tangan-tangan
mereka sendiri.
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan
di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya
yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali
(insaf dan bertaubat).
(Ar-Ruum 30:41)
Saudara dan pemikir sekalian
Fitrahnya wanita itu
dijadikan oleh Allah azza wa jalla
adalah untuk melahirkan zuriat dan umat seterusnya dengan jalan yang diredhai
Nya melalui perkahwinan. Namun kala ini, manusia telah dipesongkan oleh
pemikiran dan permasalahan sehingga semua manusia khususnya wanita akan
berfikiran bahawa setiap mereka perlu bekerja untuk menyelesaikan masalah
ekonomi dan memenuhi kepuasan dan kehendak masing-masing.
Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan
pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak
menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah)
itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang
besar.
(Al-Anfaal 8:73)
Itulah sebenarnya
senjata atau jarum kafir yang cuba untuk meracuni umat Islam. Maka dengan itu berjaya
sudah mereka mempengaruhi pemikiran setiap wanita Islam daripada menjalankan
tugas sebenar yang lebih mulia di sisi Allah Subhana wa ta’ala iaitulah membina
institusi rumah tangga.
Amatlah besar ganjaran
yang diberikan kepada wanita itu sebenarnya oleh Allah Subhana wa ta’ala sesuai
seperti yang telah termaktub di dalam Islam bahawa pahala yang sangat besar dijanjikan
Allah bagi wanita yang melahirkan anak, melayan suami serta menjaga maruahnya.
Tidak ada sebarang pekerjaan wanita pun yang dapat menandingi ganjaran pahala
sebagai seorang isteri yang menjalankan tanggungjawab ke atas suami dan
anak-anaknya. Namun masih ada yang menyangkalnya dan senang jika seorang wanita
Islam itu keluar rumah untuk bekerja dengan alasan ingin membantu ekonomi
keluarga. Karut! Itu bukan peranan wanita sebenarnya. Sebenarnya itu cuma alasan
mereka yang telah diracuni pemikiran dalam hidupnya dengan mengejar kejayaan
dunia semata.
(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak
melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan
Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau
tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan
(yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
(Ar-Ruum 30:37)
Peranan lelaki dan wanita dalam Islam
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan
orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,
dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah
yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya
dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan
Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan
perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka
berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih
degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).
Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan
untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
(An-Nisaa' 4:34)
Daripada pengertian
petikan firman Allah Subhana wa ta’ala di atas, amat jelas adalah tanggungjawab
memimpin, pengawal, memberi nafkah terhadap wanita itu adalah terletak dibahu
seorang suami kerana Allah Subhana wa ta’ala telah memberikan kelebihan
terhadap lelaki. Lelaki yang keluar bekerja kurang fitnahnya berbanding wanita,
lelaki berupaya untuk mencari rezeki dengan kelebihan kudrat yang diberikan
Allah Subhana wa ta’ala berbanding wanita sedangkan wanita sangat banyak
halangannya jika keluar rumah semata-mata untuk bekerja.
Peranan wanita terhadap anak-anaknya
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua
tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan
seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu
itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu
menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut
(jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan
penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah
berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu
hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya
bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang
patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah
sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
(Al-Baqarah 2:233)
Di dalam ayat di atas
juga telah digariskan oleh Allah Subhana wa ta’ala peranan penting dalam institusi
keluarga Islam itu iaitu; kewajipan seorang suami atau bapa ialah memberi
makan, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri dan ibu kepada anak-anaknya
menurut cara yang sepatutnya berdasarkan kemampuan suaminya. Suami kena
menjalankan tanggungjawabnya sesuai dengan rezeki yang Allah Subhana wa ta’ala berikan
kepada keluarganya dan si Isteri pula kena redha. Dengan timbul rasa redha sesama
suami isteri itu maka tidaklah anak atau tanggungjawab menyara keluarga itu
menjadi beban kepada mereka.
Namun ketika ini,
kebanyakkan institusi rumah tangga goyah dan runtuh akibat daripada tidak ada
sifat redha dalam diri pasangan menyebabkan mereka merasa kesempitan dan cuba
untuk mencari kelebihan dengan kedua-duanya sibuk mengejar pendapatan di dunia
berupa wang, harta dan pangkat seperti pengertian firman Allah Subhana wa
ta’ala dalam Surah Ar-Ruum ayat 37 sebelum ini. Manusia telah lupa itu
sebenarnya adalah ujian yang nyata dari Allah Subhana wa ta’ala semata-mata
untuk menguji keimanan manusia. Akibat daripada itu, peranan dan tanggungjawab
yang diamanahkan sebenarnya oleh Allah Subhana wa ta’ala diabaikan dan
kesudahannya hanyut dalam kemurkaan Allah subhana wa taala.
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan
kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan
anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda
peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta
kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan
(ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu
Syurga).
(A-li'Imraan 3:14)
Ketika itu barulah
bertambah kepayahan dan kesengsaraan manusia untuk menangani masalah yang lebih
teruk timbul seperti keruntuhan akhlak, penindasan wanita dan kanak-kanak,
penderaan, pemerdagangan manusia, perhambaan ekonomi dan sosial, dan pelbagai
lagi musibah dan bala yang ditimpakan kepada manusia kerana mengingkari amanah
dan perintah Allah Subhana
wa ta’ala.
Peranan Pemerintah
Seperti yang kita
sedia maklum, keadaan semasa kini, Ibu yang mempunyai anak dan duduk di rumah
dianggap tidak bekerja dan tidak ada pendapatan oleh semua kerajaan di dunia.
Tambahan lagi, Ibu yang berstatus suri rumah hanya mengharapkan gaji majikan
suaminya untuk menyara keluarga.
Akibatnya keadaan ekonomi
keluarga sangat rendah, miskin, daif menyebabkan para suri rumah tertekan dengan
keadaan kesengsaraan yang berpunca daripada kurangnya kefahaman dari pihak
pemerintah.
Sepatutnya, sesebuah
pemerintahan yang adil hendaklah memberikan ganjaran berupaya elaun kepada
wanita dari pelbagai tingkat berikut mengikut kadar yang adil iaitu menampung
sebahagian daripada keperluan mereka; Wanita yang berkahwin, Wanita yang
mempunyai anak, Wanita yang berpoligami, Wanita yang menyumbang kepada
pendidikan Ilmu Islam, Wanita balu atau yang tertalak, Wanita kurang upaya,
lanjut umur dan tingkatan lainnya.
Kenapa perlunya ganjaran ini?
Itulah peranan
pemerintah yang adil kepada kaum yang istimewa ini, mereka melahirkan generasi dan
ummah dalam keadaan mereka ini lemah, mereka berhadapan dengan hal amanah
menguruskan suami, anak dan rumah tangga, mereka menjaga kehormatan maruah diri
demi agama, mereka mendidik dan membimbing generasi dan zuriat kita dalam
institusi rumah dan pelbagai lagi amanah berumah tangga yang sudah pasti gagal
dilakukan dengan baik oleh kaum lelaki jika berubah peranan sekalipun.
Kaum lelaki dan
suamilah yang sepatutnya bekerja untuk mereka sesuai dengan pengertian ayat An-Nisaa' ayat 34. Memandang jumud
konsep Allah dalam ayat ini adalah punca kepada keruntuhan ummah masa kini. Islam
memandang mulia peranan wanita, bukan menjadikan mereka alat untuk lelaki
mendapatkan sesuatu yang bukan kerana Allah dan agamanya. Cara Fisabilillah
bagi lelaki dan wanita berbeza. Diibaratkan fisabilillah lelaki dengan lidah,
tangan dan pedangnya sementara wanita dengan maruah dan kehormatannya.
Kita amat yakin
bahawa, jika kehidupan institusi rumah tangga kita kembali kepada perintah
Allah Subhana wa ta’ala, bala dan musibah seperti pembuangan bayi, penderaan, anak-anak
merempat dan gelandangan, gejala sosial dan keruntuhan akhlak, pemerdagangan manusia,
pembunuhan, seks bebas, pelacuran dan maksiat lainnya yang menghantui kita
zaman ini tidak akan berlaku. Kembalilah kepada ajaran Islam dan bina benteng
kukuh keluarga kita daripada hasutan kafir dan sekutunya.
Wallahu a’lam bissawab
tembuakar@yahoo.com