Salam Ikhlas.
Menjadi lumrah manusia, maka akan menjadi ingat, berwaspada dan bersiap sedia
apabila diberi ingatan atau amaran selagi tiada ingatan yang masuk ke corong
telinga, maka akan sentiasa alpa dan leka yang akhirnya tanpa benteng iman ampuh
menjerumuskan mereka ke lembah kemurkaan.
Apabila Allah S.W.T memberi ingatan. Tegahan atau amaran, ia
mempunyai maksud disebaliknya. Kita boleh menjadi kafir apabila tidak
mempercayainya, munafik apabila kurang yakin dan fasik apabila menganggap mudah
lantaran dituruti runtunan hawa nafsu.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Rebutlah lima perkara
sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa
kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba
masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa
tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan
al-Baihaqi).
Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w begitu
sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan
kelima-lima peluang yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara
yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan.
Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah
membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan.
Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana
yang merupakan lawannya itu.
Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti
kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri,
seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka
merasa begitu menyiksakan.
Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan
menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi
keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak
saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak
yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat
apabila telah cukup haul dan nisbahnya.
Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa
sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah
yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya
dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini
pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian
berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah
S.W.T.
Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya
tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita
masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua? Tidakkah kita akan
menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu?.
Seterusnya Rasulullah s.a.w menyuruh kita mengisi pula masa lapang
sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa
lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau
aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang
sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh
menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah
S.W.T. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai
mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat
keindahan tumbuhan seperti bunga.
Sudah tentu perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya
masa mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh
penyesalan yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan
pancaran air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah
segala-galanya. Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di
dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan
oleh Allah S.W.T. Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.
Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan
merasai nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya.
Ini kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa
mati adalah masa untuk menuai pula.
Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat
Islam perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah s.a.w yang amat
penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan
masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya
lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan
muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti.
Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud :
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman
dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan
kesabaran."